“ Dan berilah mereka pelajaran dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.”
. ‘Halaqah’ bererti bulatan. Segelintir orang memanggilnya ‘usrah’ bererti keluarga. Kalimah ‘Usrah’ lebih menusuk kerana menyebabkan pendengarnya merasai keakraban yang mendalam malah kadang-kadang terasa lebih akrab daripada hubungan keluarga. Ada juga memanggilnya smart group, study circle dan sebagainya. Biar apa pun panggilannya, pengertiannya tetap sama iaitu hati-hati individu muslim yang beriman kepada Allah dan berusaha tolong-menolong sesama mereka untuk memahami ajaran Islam.. Kesimpulan ringkas yang dapat kita tautkan adalah kumpulan individu muslim yang bertemu kerana Allah.‘Halaqah’ merupakan tulang belakang gerakan dakwah. ‘Halaqah’ sebagaimana yang ditunjukkan oleh Rasullullah s.a.w di rumah Al-Arqam berfungsi sebagai tulang belakang gerakan dakwah Baginda dalam menyebarkan wahyu. Baginda berjaya membentuk ‘halaqah’ yang telah mendidik hati para anggota menjadi manusia yang taat kepada Allah, berhubung dengan ajaran Al-Quran, beriltizam dengan akhlak Al-Quran, berqudwahkan Utusan Allah dalam kehidupan seharian, berfikiran dan bertindak selari dengan petunjuk Tuhan, bermulazamah dengan Al-Quran dan al-sunnah Junjungan, ikhlas dalam amalan, dan sebagainya. Inilah tujuan halaqah yang cuba dihidupkan oleh mujahid-mujahid dan srikandi-srikandi Islam kini.
Halaqah membentuk peribadi muslim. Halaqah bukan sahaja membentuk peribadi Muslim, malah peribadi sebuah keluarga Muslim dan masyarakat Muslim seterusnya negara dan khilafah. Dalam halaqah disuburi dengan kasih sayang sesama muslim, menghidupkan amalan berpesan-pesan dengan kebenaran, menanamkan semangat cintakan agama Allah, meningkatkan motivasi, mengcungkil bakat ahli dan memahami peribadi ahli dengan lebih dekat. Fungsi-fungsi inilah yang akan mencuit hati, dan membentuk peribadi muslim yang sejati. Hati kita memerlukan makanan seumpama fizikal kita juga. Jika diberi makanan kebenaran, hiduplah ia sebagai hati yang kuat hubungan dengan Allah. Jika diberi makanan kejahatan, jadilah ia hati yang lalai dan sering menghasut kepada kebatilan. Jika tidak diberi ubat, makin parahlah mazmumah yang bersarang dihati. Akhirnya, segumpal darah bernama hati itu akan bertindak sebagai raja yang akan menzahirkan personaliti.

Halaqah memelihara jiwa istiqamah. Sebagai seorang muslim, istiqamah merupakan perkara yang amat dijaga agar kebaikan dan kebajikan yang dibuat adalah berterusan. Ada kala manusia kuat imannya, adakala manusia lalai. Oleh sebab itulah, kita sentiasa hajatkan sebuah tarbiah yang boleh mendidik diri kita hingga ke akhir hayat. Didikan yang menyeluruh merangkumi didikan iman, ruhiyyah, dan akhlak, didikan akal, didikan ilmu pengetahuan, didikan kecergasan tubuh badan, didikan kemasyarakatan dan sebagainya. Demikianlah kesyumulan tarbiah Islam yang diterapkan dalam halaqah, yang akan membuahkan sebuah ummah yang gemilang.
Halaqah bukan sahaja memberikan ketenangan malah memberi sebuah kehidupan baru. Di dalamnya, kita dapat meneruskan perjuangan Rasullullah, Sesungguhnya Allah menyuruh kita memikul amanah sebagai da’e dan Allah melarang kita berputus asa daripada Rahmat-Nya. Justeru, marilah sama-sama kita menghadirkan diri dalam mana-mana halaqah, agar mendapat tarbiah islam yang syumul secara berterusan. Sabda Rasullullah s.a.w yang bermaksud, “ Jika seseorang mendapat hidayah daripada Allah lantaran kamu, ianya lebih baik bagimu daripada apa yang disinari matahari”
Allah cinta teragung…

No comments:
Post a Comment